Pertandingan Cereka Sains Karyanet 2005
Gengsi Tanih Hitam
Oleh: Mohd Hafez Iftiqar Bin Ahmad Termizi
Tempat Kedua Pertandingan Cereka Sains Karyanet 2005
Tempat Kedua Pertandingan Cereka Sains Karyanet 2005
Kategori (B) Dewasa
Gempar. Tidak sampai satu jam berita kemangkatan Jeneral Murad II telah tersebar ke serata ceruk empayar Itqan. Kemangkatan mengejut sebegini pasti mengundang petaka. Baru semalam dua peluru berpandu balistik empayar Gharib melintasi ruang udara Itqan untuk menakut-nakutkan empayar Itqan. Gharib betul-betul kurang ajar. Dasar peluasan kuasa Maharaja Ferdinand sudah tidak terkawal lagi. Dia melampau. Gila. Sama gila dengan moyangnya Ariel Sharon yang menyembelih rakyat Palestin di Shabra dan Shatila ratusan tahun yang lampau. Manusia memang begitu, dahulu di bumi, manusia berbunuhan sesama sendiri, meledakkan bom atom bagi memenangkan ego sendiri. Amerika Syarikat, kuasa unipolar ketika itu secara semberono melancarkan perang terhadap negara yang didakwanya paksi kejahatan. Perlumbaan sains dan teknologi terutama dalam bidang persenjataan telah menjadi alasan menghalalkan pertumpahan darah. Natijahnya, bumi yang biru dari kejauhan itu sudah tidak selamat dihuni akibat pencemaran radioaktif. Kira-kira lima ratus tahun lalu, hampir separuh penduduk bumi mati akibat kanser kulit. Bahana kegilaan terhadap sains tanpa diseimbangkan dengan kemanusiaan dan bimbingan wahyu.
Kesan perang dunia ketiga yang telah merosakkan bumi itu dalam bekasnya terhadap mangsa-mangsa yang terselamat di planet merah ini. Mereka adalah penghuni terawal di Marikh. Peliknya, manusia jarang benar mengambil pengikhtibaran daripada perkara yang lampau. Manusia tidak pernah reti untuk belajar daripada sejarah. Setelah beberapa generasi, penduduk marikh ini berpecah kepada dua golongan. Melupakan saat-saat manis ketika mereka bekerjasama ketika mendarat di Marikh dahulu. Pemimpin-pemimpin puak Gharib tidak mahu terus tunduk kepada pemerintah Itqan. Mereka telah melarikan diri ke bahagian barat Marikh dan membentuk petempatan sendiri setelah dihalau oleh Jeneral Murad II kerana mencetuskan beberapa siri rusuhan. Alasan mereka, bangsa mereka lebih mulia daripada bangsa-bangsa yang bernaung di bawah empayar Itqan. Mana mungkin mereka tunduk kepada bangsa yang lebih hina daripada mereka. Akhir-akhir ini, selepas tiga tahun Maharaja Ferdinand menggantikan mendiang bapanya, keadaan menjadi makin parah. Maharaja Ferdinand gila kuasa. Gila darah. Sama gila dengan datuknya Ariel Sharon yang menyembelih rakyat Palestin di Shabra dan Shatila ketika di bumi dahulu.
***
Rakyat Itqan menangisi kemangkatan pemimpin mereka. Perlantikan pemimpin baru dilaksanakan sebelum jasad Murad II dikebumikan. Pantas. Bimbang pihak musuh menangguk di air keruh. Dr. Muhammad sebulat suara dilantik menggantikan ayahanda beliau dengan gelaran Jeneral Muhammad.
Ratusan kenderaan terbang TL I, milik empayar berlegar-legar di atas istana utama Itqan. Penghormatan terakhir. Sebentar lagi jasad Murad II akan dibawa ke planet bumi untuk disemadikan. Sesuai dengan wasiat baginda yang mahu dikebumikan di tempat kelahiran. Ribuan android berbaris di muka pintu istana hingga menjangkau jarak 3 km. Juga sebagai penghormatan terakhir. Seluruh empayar sedang bersedih.
Kapal angkasa TL II telah bersiap sedia untuk membawa jasad Murad ke bumi. Upacara perlu diselesaikan segera supaya tumpuan rakyat untuk mempertahankan pertiwi tidak terganggu kalau-kalau Empayar Gharib menyerang. Semua makhluk akan mati. Termasuklah Murad II. Jeneral Muhammad tidak terkecuali. Jangan kerana kematian seorang insan akan menyebabkan kehancuran empayar Itqan seluruhnya. Jasad Murad II dimasukkan ke dalam TL II. Di hadapan istana, jutaan rakyat berkabung atas kematian pemimpin yang disanjungi. “Terima kasih tuan jeneral yang berjasa...” ucap jutaan warga Itqan. Lirih dan sedih.
TL II mengapung di udara. Beberapa minit lagi upacara akan usai. TL II mula bergerak 100 meter dari permukaan Marikh. Menetapkan laluan ke bumi. Booom... Rakyat gumam. Begitu juga Jeneral Muhammad yang berada di balkoni istana. TL II menyerpih bersama jasad bekas jeneral dan 10 anak kapal. Menjadi asap hitam kemudian debu-debu yang menghujani rakyat di perkarangan istana. Suasana kelam kabut menyelubungi kawasan istana. Gegak gempita dengan bunyi jeritan dan siren amaran. Rakyat berlari ke sana ke mari mencari tempat perlindungan, tidak ketahuan. Gharib menyerang.
Jeneral Muhammad luar biasa tenangnya. Riak mukanya tidak langsung menggambarkan kebimbangan. Tidak seperti menteri-menteri kanannya yang mati akal, berpandangan sesama sendiri dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa.
“Aktifkan sistem pertahanan PBF dan anti peluru berpandu.” Jeneral Muhammad bertitah. Keras bunyinya. Ada marah dihujung perintah, namun riak wajahnya masih tenang.
PBF merupakan sistem pertahanan bio-fizik yang menghalang sebarang jenis objek asing memasuki jajahan empayar Itqan. Ketika Itqan dibawah pemerintahan Murad II dahulu, sistem itu berjaya menghalang bakteria antraks daripada memasuki sebahagian besar empayar. Malangnya, Jericho, kawasan perbatasan yang hampir dengan sempadan Gharib gagal diselamatkan kerana sistem itu masih belum dibangunkan di situ. Hampir 14 000 populasi Jericho lenyap dalam masa seminggu. Pembunuhan besar-besaran ala pembersihan etnik Albania itu telah dilaksanakan oleh Shimon Peres atas perintah Ferdinand yang ketika itu baru sebulan menggantikan tampuk pemerintahan mendiang ayahnya. Sampai sekarang Jericho masih di bawah kekuasaan Ferdinand. PBF sebenarnya telah dibangunkan oleh Jeneral Muhammad sendiri. Sebab itulah dia dikenali rakyat sebagai Muhandis Muhammad, bahasa Arab, lingua franca Itqan bererti jurutera.
***
Maharaja Ferdinand tertawa besar melihat TL II hancur menjadi debu menerusi paparan hologram di Pusat Pemerintahan Di Raja Gharib. “Bagus...bagus” berkali diulanginya pujian kepada menteri pertahanannya, Shimon Peres. Gembira dengan kejahatan kombinasi Ariel Sharon dan Slobodan Milosevic. Kalau di bumi, barangkali Ferdinand akan dimasukkan dalam senarai menunggu untuk dibicarakan di Tribunal Jenayah Perang di The Hague. Tidak terkecuali, Shimon Peres.
“Arahkan tentera dan android mara ke perbatasan esok pagi, kita akan mulakan serangan besar-besaran dalam masa seminggu.” Titah Ferdinand, menyeringai jahat. Sangkanya kekuatan Itqan sudah rapuh benar. Tidak mungkin Itqan mampu bangkit dalam masa sebulan. Melantik pemerintah baru sahaja mungkin akan mengambil masa kira-kira sebulan. Ferdinand tidak tahu bahawa Jeneral Muhammad telah dilantik ketika jasad Murad II belum lagi dikafankan.
Malam itu Gharib berpesta besar. Seolah-olah pertengahan bulan Mei itu adalah malam 1 Januari, malam tahun baru yang saban tahun disambut oleh rakyat Gharib dengan temasya liar. Arak dan wanita-wanita penghibur memeriahkan keramaian bersempena kejayaan yang baru sahaja diperolehi. Kejayaan menjatuhkan maruah empayar Itqan pagi tadi. Malam itu, Ferdinand leka dibuai arak dan wanita, ketawa dan bangga.
***
Jeneral Muhammad tidak mengambil masa yang lama untuk melayan hati yang walang. Kezaliman Ferdinand perlu disekat. Api kejahatan Ferdinand perlu dipadamkan sebelum marak membakar. Si pelaku zalim perlu diajar agar tidak berlaku petaka yang lebih besar terhadap kemanusiaan. Teorinya sama sahaja. Ratusan tahun dahulu, sekarang atau bila-bila. Yang zalim perlu dihukum setimpal dengan kezalimannya kecuali jika sudah bertaubat dan berjanji tidak megulangi kezaliman.
Malam itu ketika Ferdinand dan kebanyakan penduduk Gharib mabuk dengan arak dan wanita, Jeneral Muhammad mengarahkan 100 batalion tentera bergerak ke perbatasan. Turut serta 10 batalion artileri di raja. Setiap batalion dengan 10 pelancar peluru berpandu. Kenderaan terbang TL1 yang berjumlah 100 000 buah turut dikerah ke perbatasan. Segalanya siap siaga menanti arahan Jeneral Muhammad.
Pagi esoknya, pusat pemerintahan Gharib gempar. Berita bahawa Itqan dibawah pimpinan Jeneral Muhammad lebih dahulu bertindak sampai ke pengetahuan Ferdinand. Tidak senang duduk, warawiri dia dalam bilik pemerintahannya. Tidak percaya, kekuatan Itqan boleh pulih dalam masa yang sebegitu singkat .
Jeneral Muhammad seboleh mungkin mahu mengelak daripada tercetusnya peperangan. Peperangan bererti pertumpahan darah. Kehilangan nyawa orang awam sukar dielakkan dalam mana-mana siri peperangan. Sejarah sudah jenuh menyaksikan orang-orang awam menderita akibat kempen peperangan. Di bumi dahulu, biar pun di sana ada Konvensyen Geneva 1977, marhaen yang tidak berdosa terus menjadi mangsa ratahan peluru. Itu tidak termasuk kes-kes rogol, penganiayaan yang dikategorikan sebagai dehumanisation.
Jika perdamaian bersyarat mampu dicapai, dia akan menggundurkan tentera dari perbatasan. Kehilangan nyawa orang awam sukar dielakkan dalam mana-mana siri peperangan. Jika musuh mahu berdamai, dia akan berdamai. Tetapi syarat-syarat perjanjian perlulah lebih dahulu diterima termasuklah menyerahkan semula Jericho yang dirampas. Pagi itu, Muhammad menghantar utusan untuk berunding dengan Ferdinand. “Lepaskan penguasaan ke atas Jericho dan mohon maaf atas sikap biadap meletupkan TL II dan jasad Murad II semalam.” Setuju bererti selamat, tidak bererti berhadapan dengan tindakan ketenteraan. Penyerahan semula Jericho penting kerana di situ kemanusiaan dihenyak, marhaen yang setia kepada Itqan menjadi mangsa kegilaan pimpinan Gharib. Siri-siri rundingan sudah tidak punya makna dan janji hanya tinggal janji di atas helaian perjanjian. Gharib hanya mengotakan janji seminggu dua kemudiannya meruntuhkan kota-kota janji.
***
Planet merah ini telah mempesonakan manusia lama dahulu. Manusia berimaginasi untuk membina petempatan di planet merah ini. Bermula dengan imaginasi Giovanni Schiaparelli pada tahun 1877 yang melakar peta marikh siap dengan canali, bahasa Itali yang bermaksud parit. Lama sebelum tercetusnya penerokaan angkasa oleh USSR dan AS. Lapan puluh tujuh tahun sebelum kapal angkasa Mariner 4 menghantar pulang 21 keping gambar permukaan marikh ke bumi. Taksubnya manusia untuk meneroka, menjelajah dan menjajah. Misi demi misi diteruskan. Januari 2004, misi Mars Pathfinder dilancarkan untuk mencari petanda-petanda kehidupan berdasarkan teori ada air ada kehidupan. Pada tahun 2164, dua abad selepas Mariner 4 menghantar imej marikh, Khurasan III yang dilancarkan dari Kota Baghdad membuat penemuan wujudnya sungai-sungai di bawah permukaan marikh. Sungai-sungai ini jugalah yang menjadikan lapisan di bawah permukaan planet sedikit lembap seperti yang diketahui saintis lebih 160 tahun lalu. Penemuan yang menjanjikan kehidupan. Tidak menunggu lama, lima tahun selepas penemuan sungai-sungai tersebut, manusia menghantar 10 angkasawan pertama untuk membangunkan koloni di marikh. Matlamat utama, menyalirkan air ke permukaan planet dengan menebuk batuan tidak telap yang memerangkap air sejak awal kewujudan marikh. Air adalah asas untuk membawa kehidupan ke planet merah. Misi itu berjaya dengan pencapaian yang diharapkan, sebahagian besar tanah timur berjaya disaliri air. Mendenyutkan nadi kehidupan. Dua tahun berikutnya, kajian saintifik mendapati telah wujud bakteria anaerobik di kawasan itu. Organisma ringkas yang tidak memerlukan oksigen untuk menjalankan proses metabolisma. Namun, ketika itu, hasrat untuk berkoloni di marikh masih jauh daripada nyata. Untuk manusia bermandiri di sana, perlu ada sumber oksigen cukup untuk respirasi, juga cahaya matahari sebagai asas tenaga. Manusia turut memerlukan atmosfera yang bebas daripada radiasi yang menyebabkan bahaya, juga tarikan graviti yang sesuai dan suhu serta tekanan udara yang bertepatan dengan kehendak asasi manusia. Oksigen, air, cahaya matahari, atmosfera yang selamat daripada bahaya galaksi, graviti dan suhu yang sesuai adalah senarai lengkap keperluan untuk bermastautin di marikh. Di bawah misi Khurasan III, saintis di bumi mengenal pasti dua daripada enam prasyarat ini telah dipenuhi. Yang masih menjadi teka-teki ialah bagaimana mahu diwujudkan lingkaran kawasan beroksigen dan bebas daripada radiasi yang membunuh.
***
Gumpalan awan berlumba-lumba menuju ke utara kota Baghdad, barangkali memberi ruang untuk cahaya matahari sampai ke permukaan Iraq. Sungai Furat mengalir damai, tenang seperti dulu-dulu. Sungai yang menjadi saksi kepada 1001 kisah silam penduduk sekitarnya. Dahulu airnya pernah bertukar hitam akibat tinta kitab tamadun Abbasiah yang dibuang oleh tentera-tentera pimpinan Ulagu Khan ketika menabrak tamadun itu. Kegemilangan tamadun yang diperolehi hasil paduan Al-Quran dan pencapaian sains. Furat juga menjadi saksi amuk penduduk Iraq pasca pencerobohan Amerika dan konco-konconya pada tahun 2003. Beberapa kali air yang menghilir itu berkocak dek letupan bom kereta di tubirnya yang mengorbankan orang awam , polis Iraq dan tentera penceroboh. Musim duka yang panjang.
Hari ini Furat menjadi saksi kebangkitan Baghdad daripada puing-puing duka. Baghdad kembali menjadi pusat ketamadunan selepas melalui musim-musim muram yang panjang. Dari bandar inilah Khurasan III dilancarkan ke marikh dua tahun lepas.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kerana dapat hadir pada hari ini.” tutur Jeneral Murad mendatar.
“Kita di sini untuk mencalonkan jurutera yang berkemampuan untuk membangunkan sebuah pusat interaksi antara bumi dan marikh.” Isi dewan mengangguk-angguk.
“Sekarang, suka saya membuka pencalonan kepada kalian.” Tutur Jeneral Murad lagi.
“Saya cadangkan jurutera kanan negara dipertanggungjawabkan untuk misi tersebut.” Cadang Dr Harith, seorang pakar robotik selepas mengangkat tangan.
“Saya sokong.” Jerit seorang yang lain seraya mengangkat tangan. Dewan hingar dengan suara isinya yang bercakap-cakap sesama sendiri. Tidak tahu buah butir pertuturan mereka.
“Ada bangkangan?” Nada Jeneral Murad masih mendatar. Isi dewan senyap semula.
“Saya cadangkan, cadangan ditutup.” Seorang peserta mengangkat tangan dan memberi cadangan.
“Saya sokong!” Jerit seorang peserta lain.
“Saya juga!” jerit pula peserta lain seraya mengangkat tangan sehinggalah seluruh isi dewan mengangkat tangan tanda setuju kecuali seorang peserta yang duduk hampir dengan pintu. Dia tunduk penuh tawaduk. Dialah jurutera kanan yang dimaksudkan, Dr Muhammad bin Murad.
“Kalau tiada sebarang bangkangan, saya isytiharkan, secara rasminya Dr Muhammad dilantik sebagai ketua misi tersebut.” Umum Jeneral Murad dengan suara garaunya, intonasinya masih lagi sama.
Seluruh isi dewan bangun sebagai tanda sokongan dan ucapan tahniah. Dr Muhammad senyum dan membongkokkan sedikit badannya, tanda hormat kepada semua peserta persidangan.
Dr Muhammad seorang jurutera yang berbakat. Dikenali ramai dengan gelaran muhandis Muhammad. Dia adalah anak sulung kepada Jeneral Murad. Dr Muhammad memang terkenal dengan idea-ideanya yang mendahului masa. Lebih membuatkan peribadi itu disegani ramai ialah kearifannya dalam bidang agama. Dia disebut-sebut sebagai Muhammad Al-Fateh kurun ke 21. Tugas berat bakal menantinya di marikh. Cabaran utama adalah untuk mewujudkan lingkaran beroksigen, bergraviti malar serta sesuai untuk manusia dan bebas daripada radiasi bahaya.
***
Pusat angkasa yang tersergam di hadapan sungai Furat itu gegak gempita dengan takbir dan sorakan. Ada di antara pegawainya yang sujud syukur menerima berita dari marikh sore itu. Senyuman dan ucapan syukur memaknakan kegembiraan dan kepuasan seluruh warga kerja di situ. Kejayaan yang saban hari dinantikan. Kejayaan yang memungkinkan manusia mendarat dan berkoloni di Marikh. Beranak-pinak di sana.
“Kerja terakhir sudah dilaksanakan dengan jaya. Saya dan warga koloni sudah tidak perlu bergantung kepada alat pembekal oksigen dan peneutral tekanan.” Suara Dr. Muhammad bersipongang dalam bilik pemantauan itu.
“Pecutan graviti telah dinaikkan dan dimalarkan daripada 0.38 meter per saat kuasa dua kepada 9.78 meter per saat kuasa dua, sesuai untuk manusia bermandiri.” Suara Dr Muhammad kedengaran lagi.
“Komposisi oksigen berjaya dimalarkan kepada 20 peratus daripada komposisi keseluruhan atmosfera marikh, dan kandungan karbon dioksida berjaya diturunkan daripada 95 peratus kepada 6 peratus kesan daripada manipulasi proses fotosintesis alga.” Lagi laporan daripada Dr Muhammad.
“Tahniah anakku.” Suara Murad II menyusuli laporan Dr Muhammad diikuti dengan takbir warga kerja bilik pemantauan itu. Gembira dan bersyukur.
“Tahniah kepada semua tenaga kerja di sana, kami bangga dengan pencapaian kalian. Kalian punya jasa yang besar buat manusia sejagat.” Kedengaran lagi suara Jeneral Murad II yang berada di bumi. Ada gembira di hujung nada.
Pemilihan Dr. Muhammad dua tahun lalu bagi mengetuai misi membina tapak koloni di marikh adalah suatu keputusan yang tepat. Dalam tempoh dua tahun, marikh sudah bersedia untuk menerima tamu dari bumi, juga menjanjikan kebarangkalian menerima permastautin.
***
“Aku tidak kecut dengan persediaan negaramu!” Jerkah Ferdinand marah. Matanya dibeliakkan. Pipinya bergetar mengempang marah. Kontur dahinya berkerut dengan geram. Kalau boleh, mahu ditelannya utusan Itqan di hadapannya itu. Dia melirik benci kepada utusan yang gumam itu.
“Pergi, khabarkan kepada Muhammad, aku bukan dayus, mudah taat pada titahnya.” Tinggi intonasi suara Ferdinand. Ego dan jahat.
“Pergi!” jerkah Ferdinand. Perlahan-lahan utusan itu mengundur diri dan keluar meninggalkan istana Gharib. Pulang ke perbatasan Itqan dengan khabar perang.
Jeneral Muhammad sedaya mungkin mahu mengelakkan peperangan. Peperangan bererti pertumpahan darah dan kemungkinan besar kehilangan nyawa manusia tidak berdosa. Namun dia tidak punya pilihan. Peperangan perlu bagi mengelakkan kezaliman terus bermaharajalela di planet merah. Dia perlu membebaskan Jericho daripada cengkaman Ferdinand. Penduduk Jericho telah dipaksa membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan Gharib. Kebebasan mereka disekat. Anak-anak muda yang mencecah umur 18 tahun dipaksa bekerja sebagai buruh dalam empayar Gharib. Tidak bergaji, hanya dibekalkan dengan keperluan asas. Sesiapa yang enggan akan dihukum penjara. Menjadi pidana kerana mahu lari daripada penindasan. Mahu tidak mahu mereka terpaksa rela dengan penindasan, bangkang bererti berhadapan dengan tindakan yang lebih jahat dan tidak berperikemanusiaan.
“Wahai sekalian tentera, kita akan berperang dan berkorban demi watan yang kita cintai. Namun, kalian diingatkan, kezaliman tidak akan sirna dengan kezaliman. Dalam kempen peperangan ini, kalian diharamkan daripada mencederakan orang awam dan merosakkan harta awam. Sesiapa yang melanggar titah, dia adalah pengkhianat watan dan kemanusiaan.” Titah Jeneral Muhammad kepada soldadu Itqan melalui corong-corong radio tentera. Terang dan jelas. Tentera Itqan siap siaga.
Sudah masuk hari ketiga. Ternyata, lingkaran pertahanan Gharib bukan calang-calang sistem. Sedikit pun tidak terkesan dengan serangan selepas serangan Itqan. Sistem pertahanan itu agak kebal. Jika terus-terusan menyerang sebegini, lama kelamaan akan menyebabkan bekalan peluru berkurangan. Jika perkara ini berlaku, Itqan mungkin tidak mampu untuk mempertahankan empayarnya jika Gharib membuat keputusan untuk menyerang balas. Usai mengimami solat jemaah bersama tentera loha itu, Jeneral Muhammad berteleku lama di atas tikar sejadah. Jeneral Muhammad mengerutkan kening. Fikir dengan makrifat. Kemudian senyum, barangkali dijengah hikmah. Jeneral Muhammad menggamit wazir yang berdiri beberapa depa daripadanya. Wazir yang melewati usia 50 tahun itu meluru taat. Perbincangan berlaku. Wazir angguk, kemudian senyum.
Sore itu, pemimpin-pemimpin tertinggi tentera dipanggil menghadap Jeneral Muhammad. Tidak berapa lama lagi, taklimat mengenai strategi ketenteraan akan disampaikan. Hakikatnya, moral tentera-tentera Itqan agak terkesan disebabkan siri-siri serangan yang tidak menatijahkan hasil. Penat dan keliru.
“Tuan-tuan, saya ucapkan terima kasih tak terhingga atas kesanggupan tuan-tuan berkorban demi negara. Dalam kecanggihan sains dan teknologi, kadang kala kita lupa, kemenangan bukan terletak atas kekuatan materi semata-mata. Kemenangan adalah gabungan rohani, fizikal dan fikiran. Apa-apa yang telah berlaku dalam sejarah panjang manusia bukanlah untuk diperap dalam buku-buku sejarah.” Jeneral Muhammad membuka bicara.
“Hari-hari yang datang sebenarnya perulangan hari-hari yang pergi. Kita berbicara tentang manusia dan peristiwa. Lirik sama dengan irama berbeza.” Semua angguk. Sunyi bertandang sebelum Jeneral Muhammad meneruskan bicara.
“Malam ini kita akan gunakan taktik silam. Menggali terowong-terowong di bawah permukaan marikh bagi menembusi sistem pertahanan Gharib.” Jeneral Muhammad serius.
Lama dahulu, Muhammad Al-Fateh pernah menggunakan strategi menggali terowong dalam usaha menawan Konstantinopel setelah usaha membedil kubu kota itu gagal. Namun usaha itu tidak seberjaya mana. Setelah pihak Konstantinopel mengetahui rancangan Muhammad Al-Fateh, terowong-terowong itu telah dilimpahkan dengan air dan menggagalkan tentera Al Fateh daripada menembusi kota. Terowong-terowong yang bertentangan juga dibina dengan tujuan menghambat dan membunuh tentera-tentera Al-Fateh. Kegagalan itu telah menyebabkan Al-Fateh menukar strategi baru yang akhirnya menyebabkan Konstantinopel jatuh ke bawah penguasaannya.
Malam datang bersama sunyi dan legam langit. Malam ini unik daripada malam-malam lain. Malam ini bulan mengalami gerhana penuh. Malam yang terang diratai cahaya rembulan tiba-tiba bertukar gelap. Fenomena yang mengambil tempat apabila matahari, bumi dan bulan berada pada satu garis selari. Dalam setahun, sekurang-kurangnya dua kali fenomena sebegini berlaku. Mengkagumkan. Tetapi tidak buat Ferdinand. Dia melontar pandangnya jauh ke arah kerdipan cahaya yang datang dari kem tentera Itqan. Dia masih lagi selamat di kotanya kerana sistem lingkaran pertahanan bio-fizik masih ampuh. Di sepanjang perbatasan, tenteranya siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan. Gerhana membawa petanda sial. Mungkinkah dia akan terpaksa tunduk kepada Itqan? Dia masih berdiri dengan percaya, esok tiba dengan berita kegagalan Itqan menembusi sistem pertahanan empayarnya. Hari baru. Mentari pagi menyapa. Masih dengan fitrahnya, terbit di timur dan sore nanti tenggelam di horizon barat. Namun bagi Ferdinand, seolah-olah mentari tidak begitu hari ini. Seolah-olah, hari ini mentari terbit di barat dan sore nanti tenggelam di horizon timur. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya di luar jendela kaca istananya. Ini tidak mungkin terjadi kecuali dengan ilmu sihir yang maha hebat. Dia melopong tidak percaya.
***
Pagi itu empayar Gharib terjaga dengan kejutan. Ruang udaranya dipenuhi dengan kenderaan terbang TL I Itqan. Tentera-tenteranya melutut dengan dua tangan di belakang kepala. Empayarnya sudah ditawan oleh tentera-tentera Itqan. Sistem pertahanannya masih utuh seperti semalam. Ferdinand tidak percaya. Bagaimana ini berlaku? Ini hanya akan berlaku jika sihir yang maha hebat digunakan.
Tengah malam semalam hingga ke dinihari, 100 000 tentera Itqan bertungkus lumus menggali terowong dengan alatan-alatan ringkas seperti cangkul dan penyodok. Penggunaan alatan ringkas akan membolehkan strategi mereka tidak dikesan oleh pihak musuh. Kerja membina terowong itu menagih jerih. Terowong besar, sehingga kenderaan terbang TL I boleh ditarik menerusi terowong itu. Senyap-senyap menembus ke dalam kota Gharib. Penentangan yang diterima agak minima, hanya beberapa orang tentera sahaja yang sedar ketika para soldadu Itqan menembus masuk. Itu pun tidak sempat mengejutkan semua supaya bertindak, langsung mengangkat tangan apabila digertak oleh tentera Itqan.Yang semua itu, sedar apabila dikejutkan oleh tentera Itqan dengan hujung senjata. Dalam masa dua jam, seluruh tentera Gharib berada dibawah tawanan Itqan. Merayu-rayu supaya tidak diapa-apakan.
Dalam kejutan, Ferdinand dikejutkan lagi dengan ketukan pada pintu kamar tidurnya. Ketakutan berlari menerusi pembuluh-pembuluh darahnya. Dia takut benar ketika itu. Pintu terus diketuk. Enggan dibukanya. Diterjah dari luar, sekonyong-konyong kelibat Jeneral Muhammad dan wazir Itqan sudah berada di hadapannya dengan sepuluh pengawal lengkap bersenjata. Kejutan lagi.
Ferdinand tunduk ketika digari dalam pakaian tidurnya. Merah menguasai seluruh mukanya, malu dan marah. Jeneral Muhammad bertahmid, lirih. Syukur peperangan ini sudah tanpa darah.
“Sejarah untuk dipelajari, dikaji, difahami dan diaplikasi. Sejarah akan berulang kerana kita bercerita tentang manusia dan peristiwa. Dalam mana-mana kurun, sejarah akan berulang dan berulang lagi. Lirik sama dengan irama berbeza. Kemajuan bukan alasan untuk tidak mencontohi sejarah. Manusia yang tidak tahu mengambil tauladan daripada sejarah, akan berulang kali mengulangi kegagalan.” Tutur Jeneral Muhammad perlahan kepada wazir disebelahnya ketika Ferdinand melintasi mereka dengan muka merah dan marah. Tangannya digari ke belakang. Wazir angguk, mengerti. Hari ini bukti kebenaran kata-kata Jeneral Muhammad tadi. Kejayaan yang dicipta setelah mengambil teladan daripada sejarah pembukaan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al Fateh.
“Benar, kita bercerita tentang gengsi Adam yang diciptakan daripada tanih hitam. Manusia dan peristiwa. Lirik sama dengan irama berbeza.” Wazir memandang tepat ke mata Jeneral Muhammad. Senyum.
Keduanya meninggalkan istana Gharib yang kosong tidak berpenghuni dengan rasa syukur atas kemenangan hari ini. Kemenangan yang akan dikecapi oleh sesiapa yang tahu dan mahu belajar daripada sejarah.
2 Comments:
Alhamdulillah... simply astonishing bro... history with a touch of futuristic and scientific quality... by my standard (which is obviously lower than urs =) ); the elements are well-blended... congrats and may His blessings be with you, period.
MasyaAllah, Subhanallah, Subhanallah...
Post a Comment
<< Home