Tuesday, August 30, 2005

Pertandingan Cereka Sains Karyanet 2005

Gengsi Tanih Hitam
Oleh: Mohd Hafez Iftiqar Bin Ahmad Termizi
Tempat Kedua Pertandingan Cereka Sains Karyanet 2005
Kategori (B) Dewasa

Gempar. Tidak sampai satu jam berita kemangkatan Jeneral Murad II telah tersebar ke serata ceruk empayar Itqan. Kemangkatan mengejut sebegini pasti mengundang petaka. Baru semalam dua peluru berpandu balistik empayar Gharib melintasi ruang udara Itqan untuk menakut-nakutkan empayar Itqan. Gharib betul-betul kurang ajar. Dasar peluasan kuasa Maharaja Ferdinand sudah tidak terkawal lagi. Dia melampau. Gila. Sama gila dengan moyangnya Ariel Sharon yang menyembelih rakyat Palestin di Shabra dan Shatila ratusan tahun yang lampau. Manusia memang begitu, dahulu di bumi, manusia berbunuhan sesama sendiri, meledakkan bom atom bagi memenangkan ego sendiri. Amerika Syarikat, kuasa unipolar ketika itu secara semberono melancarkan perang terhadap negara yang didakwanya paksi kejahatan. Perlumbaan sains dan teknologi terutama dalam bidang persenjataan telah menjadi alasan menghalalkan pertumpahan darah. Natijahnya, bumi yang biru dari kejauhan itu sudah tidak selamat dihuni akibat pencemaran radioaktif. Kira-kira lima ratus tahun lalu, hampir separuh penduduk bumi mati akibat kanser kulit. Bahana kegilaan terhadap sains tanpa diseimbangkan dengan kemanusiaan dan bimbingan wahyu.
Kesan perang dunia ketiga yang telah merosakkan bumi itu dalam bekasnya terhadap mangsa-mangsa yang terselamat di planet merah ini. Mereka adalah penghuni terawal di Marikh. Peliknya, manusia jarang benar mengambil pengikhtibaran daripada perkara yang lampau. Manusia tidak pernah reti untuk belajar daripada sejarah. Setelah beberapa generasi, penduduk marikh ini berpecah kepada dua golongan. Melupakan saat-saat manis ketika mereka bekerjasama ketika mendarat di Marikh dahulu. Pemimpin-pemimpin puak Gharib tidak mahu terus tunduk kepada pemerintah Itqan. Mereka telah melarikan diri ke bahagian barat Marikh dan membentuk petempatan sendiri setelah dihalau oleh Jeneral Murad II kerana mencetuskan beberapa siri rusuhan. Alasan mereka, bangsa mereka lebih mulia daripada bangsa-bangsa yang bernaung di bawah empayar Itqan. Mana mungkin mereka tunduk kepada bangsa yang lebih hina daripada mereka. Akhir-akhir ini, selepas tiga tahun Maharaja Ferdinand menggantikan mendiang bapanya, keadaan menjadi makin parah. Maharaja Ferdinand gila kuasa. Gila darah. Sama gila dengan datuknya Ariel Sharon yang menyembelih rakyat Palestin di Shabra dan Shatila ketika di bumi dahulu.

***

Rakyat Itqan menangisi kemangkatan pemimpin mereka. Perlantikan pemimpin baru dilaksanakan sebelum jasad Murad II dikebumikan. Pantas. Bimbang pihak musuh menangguk di air keruh. Dr. Muhammad sebulat suara dilantik menggantikan ayahanda beliau dengan gelaran Jeneral Muhammad.
Ratusan kenderaan terbang TL I, milik empayar berlegar-legar di atas istana utama Itqan. Penghormatan terakhir. Sebentar lagi jasad Murad II akan dibawa ke planet bumi untuk disemadikan. Sesuai dengan wasiat baginda yang mahu dikebumikan di tempat kelahiran. Ribuan android berbaris di muka pintu istana hingga menjangkau jarak 3 km. Juga sebagai penghormatan terakhir. Seluruh empayar sedang bersedih.
Kapal angkasa TL II telah bersiap sedia untuk membawa jasad Murad ke bumi. Upacara perlu diselesaikan segera supaya tumpuan rakyat untuk mempertahankan pertiwi tidak terganggu kalau-kalau Empayar Gharib menyerang. Semua makhluk akan mati. Termasuklah Murad II. Jeneral Muhammad tidak terkecuali. Jangan kerana kematian seorang insan akan menyebabkan kehancuran empayar Itqan seluruhnya. Jasad Murad II dimasukkan ke dalam TL II. Di hadapan istana, jutaan rakyat berkabung atas kematian pemimpin yang disanjungi. “Terima kasih tuan jeneral yang berjasa...” ucap jutaan warga Itqan. Lirih dan sedih.
TL II mengapung di udara. Beberapa minit lagi upacara akan usai. TL II mula bergerak 100 meter dari permukaan Marikh. Menetapkan laluan ke bumi. Booom... Rakyat gumam. Begitu juga Jeneral Muhammad yang berada di balkoni istana. TL II menyerpih bersama jasad bekas jeneral dan 10 anak kapal. Menjadi asap hitam kemudian debu-debu yang menghujani rakyat di perkarangan istana. Suasana kelam kabut menyelubungi kawasan istana. Gegak gempita dengan bunyi jeritan dan siren amaran. Rakyat berlari ke sana ke mari mencari tempat perlindungan, tidak ketahuan. Gharib menyerang.
Jeneral Muhammad luar biasa tenangnya. Riak mukanya tidak langsung menggambarkan kebimbangan. Tidak seperti menteri-menteri kanannya yang mati akal, berpandangan sesama sendiri dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa.
“Aktifkan sistem pertahanan PBF dan anti peluru berpandu.” Jeneral Muhammad bertitah. Keras bunyinya. Ada marah dihujung perintah, namun riak wajahnya masih tenang.
PBF merupakan sistem pertahanan bio-fizik yang menghalang sebarang jenis objek asing memasuki jajahan empayar Itqan. Ketika Itqan dibawah pemerintahan Murad II dahulu, sistem itu berjaya menghalang bakteria antraks daripada memasuki sebahagian besar empayar. Malangnya, Jericho, kawasan perbatasan yang hampir dengan sempadan Gharib gagal diselamatkan kerana sistem itu masih belum dibangunkan di situ. Hampir 14 000 populasi Jericho lenyap dalam masa seminggu. Pembunuhan besar-besaran ala pembersihan etnik Albania itu telah dilaksanakan oleh Shimon Peres atas perintah Ferdinand yang ketika itu baru sebulan menggantikan tampuk pemerintahan mendiang ayahnya. Sampai sekarang Jericho masih di bawah kekuasaan Ferdinand. PBF sebenarnya telah dibangunkan oleh Jeneral Muhammad sendiri. Sebab itulah dia dikenali rakyat sebagai Muhandis Muhammad, bahasa Arab, lingua franca Itqan bererti jurutera.

***

Maharaja Ferdinand tertawa besar melihat TL II hancur menjadi debu menerusi paparan hologram di Pusat Pemerintahan Di Raja Gharib. “Bagus...bagus” berkali diulanginya pujian kepada menteri pertahanannya, Shimon Peres. Gembira dengan kejahatan kombinasi Ariel Sharon dan Slobodan Milosevic. Kalau di bumi, barangkali Ferdinand akan dimasukkan dalam senarai menunggu untuk dibicarakan di Tribunal Jenayah Perang di The Hague. Tidak terkecuali, Shimon Peres.
“Arahkan tentera dan android mara ke perbatasan esok pagi, kita akan mulakan serangan besar-besaran dalam masa seminggu.” Titah Ferdinand, menyeringai jahat. Sangkanya kekuatan Itqan sudah rapuh benar. Tidak mungkin Itqan mampu bangkit dalam masa sebulan. Melantik pemerintah baru sahaja mungkin akan mengambil masa kira-kira sebulan. Ferdinand tidak tahu bahawa Jeneral Muhammad telah dilantik ketika jasad Murad II belum lagi dikafankan.
Malam itu Gharib berpesta besar. Seolah-olah pertengahan bulan Mei itu adalah malam 1 Januari, malam tahun baru yang saban tahun disambut oleh rakyat Gharib dengan temasya liar. Arak dan wanita-wanita penghibur memeriahkan keramaian bersempena kejayaan yang baru sahaja diperolehi. Kejayaan menjatuhkan maruah empayar Itqan pagi tadi. Malam itu, Ferdinand leka dibuai arak dan wanita, ketawa dan bangga.

***

Jeneral Muhammad tidak mengambil masa yang lama untuk melayan hati yang walang. Kezaliman Ferdinand perlu disekat. Api kejahatan Ferdinand perlu dipadamkan sebelum marak membakar. Si pelaku zalim perlu diajar agar tidak berlaku petaka yang lebih besar terhadap kemanusiaan. Teorinya sama sahaja. Ratusan tahun dahulu, sekarang atau bila-bila. Yang zalim perlu dihukum setimpal dengan kezalimannya kecuali jika sudah bertaubat dan berjanji tidak megulangi kezaliman.
Malam itu ketika Ferdinand dan kebanyakan penduduk Gharib mabuk dengan arak dan wanita, Jeneral Muhammad mengarahkan 100 batalion tentera bergerak ke perbatasan. Turut serta 10 batalion artileri di raja. Setiap batalion dengan 10 pelancar peluru berpandu. Kenderaan terbang TL1 yang berjumlah 100 000 buah turut dikerah ke perbatasan. Segalanya siap siaga menanti arahan Jeneral Muhammad.
Pagi esoknya, pusat pemerintahan Gharib gempar. Berita bahawa Itqan dibawah pimpinan Jeneral Muhammad lebih dahulu bertindak sampai ke pengetahuan Ferdinand. Tidak senang duduk, warawiri dia dalam bilik pemerintahannya. Tidak percaya, kekuatan Itqan boleh pulih dalam masa yang sebegitu singkat .
Jeneral Muhammad seboleh mungkin mahu mengelak daripada tercetusnya peperangan. Peperangan bererti pertumpahan darah. Kehilangan nyawa orang awam sukar dielakkan dalam mana-mana siri peperangan. Sejarah sudah jenuh menyaksikan orang-orang awam menderita akibat kempen peperangan. Di bumi dahulu, biar pun di sana ada Konvensyen Geneva 1977, marhaen yang tidak berdosa terus menjadi mangsa ratahan peluru. Itu tidak termasuk kes-kes rogol, penganiayaan yang dikategorikan sebagai dehumanisation.
Jika perdamaian bersyarat mampu dicapai, dia akan menggundurkan tentera dari perbatasan. Kehilangan nyawa orang awam sukar dielakkan dalam mana-mana siri peperangan. Jika musuh mahu berdamai, dia akan berdamai. Tetapi syarat-syarat perjanjian perlulah lebih dahulu diterima termasuklah menyerahkan semula Jericho yang dirampas. Pagi itu, Muhammad menghantar utusan untuk berunding dengan Ferdinand. “Lepaskan penguasaan ke atas Jericho dan mohon maaf atas sikap biadap meletupkan TL II dan jasad Murad II semalam.” Setuju bererti selamat, tidak bererti berhadapan dengan tindakan ketenteraan. Penyerahan semula Jericho penting kerana di situ kemanusiaan dihenyak, marhaen yang setia kepada Itqan menjadi mangsa kegilaan pimpinan Gharib. Siri-siri rundingan sudah tidak punya makna dan janji hanya tinggal janji di atas helaian perjanjian. Gharib hanya mengotakan janji seminggu dua kemudiannya meruntuhkan kota-kota janji.

***

Planet merah ini telah mempesonakan manusia lama dahulu. Manusia berimaginasi untuk membina petempatan di planet merah ini. Bermula dengan imaginasi Giovanni Schiaparelli pada tahun 1877 yang melakar peta marikh siap dengan canali, bahasa Itali yang bermaksud parit. Lama sebelum tercetusnya penerokaan angkasa oleh USSR dan AS. Lapan puluh tujuh tahun sebelum kapal angkasa Mariner 4 menghantar pulang 21 keping gambar permukaan marikh ke bumi. Taksubnya manusia untuk meneroka, menjelajah dan menjajah. Misi demi misi diteruskan. Januari 2004, misi Mars Pathfinder dilancarkan untuk mencari petanda-petanda kehidupan berdasarkan teori ada air ada kehidupan. Pada tahun 2164, dua abad selepas Mariner 4 menghantar imej marikh, Khurasan III yang dilancarkan dari Kota Baghdad membuat penemuan wujudnya sungai-sungai di bawah permukaan marikh. Sungai-sungai ini jugalah yang menjadikan lapisan di bawah permukaan planet sedikit lembap seperti yang diketahui saintis lebih 160 tahun lalu. Penemuan yang menjanjikan kehidupan. Tidak menunggu lama, lima tahun selepas penemuan sungai-sungai tersebut, manusia menghantar 10 angkasawan pertama untuk membangunkan koloni di marikh. Matlamat utama, menyalirkan air ke permukaan planet dengan menebuk batuan tidak telap yang memerangkap air sejak awal kewujudan marikh. Air adalah asas untuk membawa kehidupan ke planet merah. Misi itu berjaya dengan pencapaian yang diharapkan, sebahagian besar tanah timur berjaya disaliri air. Mendenyutkan nadi kehidupan. Dua tahun berikutnya, kajian saintifik mendapati telah wujud bakteria anaerobik di kawasan itu. Organisma ringkas yang tidak memerlukan oksigen untuk menjalankan proses metabolisma. Namun, ketika itu, hasrat untuk berkoloni di marikh masih jauh daripada nyata. Untuk manusia bermandiri di sana, perlu ada sumber oksigen cukup untuk respirasi, juga cahaya matahari sebagai asas tenaga. Manusia turut memerlukan atmosfera yang bebas daripada radiasi yang menyebabkan bahaya, juga tarikan graviti yang sesuai dan suhu serta tekanan udara yang bertepatan dengan kehendak asasi manusia. Oksigen, air, cahaya matahari, atmosfera yang selamat daripada bahaya galaksi, graviti dan suhu yang sesuai adalah senarai lengkap keperluan untuk bermastautin di marikh. Di bawah misi Khurasan III, saintis di bumi mengenal pasti dua daripada enam prasyarat ini telah dipenuhi. Yang masih menjadi teka-teki ialah bagaimana mahu diwujudkan lingkaran kawasan beroksigen dan bebas daripada radiasi yang membunuh.

***

Gumpalan awan berlumba-lumba menuju ke utara kota Baghdad, barangkali memberi ruang untuk cahaya matahari sampai ke permukaan Iraq. Sungai Furat mengalir damai, tenang seperti dulu-dulu. Sungai yang menjadi saksi kepada 1001 kisah silam penduduk sekitarnya. Dahulu airnya pernah bertukar hitam akibat tinta kitab tamadun Abbasiah yang dibuang oleh tentera-tentera pimpinan Ulagu Khan ketika menabrak tamadun itu. Kegemilangan tamadun yang diperolehi hasil paduan Al-Quran dan pencapaian sains. Furat juga menjadi saksi amuk penduduk Iraq pasca pencerobohan Amerika dan konco-konconya pada tahun 2003. Beberapa kali air yang menghilir itu berkocak dek letupan bom kereta di tubirnya yang mengorbankan orang awam , polis Iraq dan tentera penceroboh. Musim duka yang panjang.
Hari ini Furat menjadi saksi kebangkitan Baghdad daripada puing-puing duka. Baghdad kembali menjadi pusat ketamadunan selepas melalui musim-musim muram yang panjang. Dari bandar inilah Khurasan III dilancarkan ke marikh dua tahun lepas.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kerana dapat hadir pada hari ini.” tutur Jeneral Murad mendatar.
“Kita di sini untuk mencalonkan jurutera yang berkemampuan untuk membangunkan sebuah pusat interaksi antara bumi dan marikh.” Isi dewan mengangguk-angguk.
“Sekarang, suka saya membuka pencalonan kepada kalian.” Tutur Jeneral Murad lagi.
“Saya cadangkan jurutera kanan negara dipertanggungjawabkan untuk misi tersebut.” Cadang Dr Harith, seorang pakar robotik selepas mengangkat tangan.
“Saya sokong.” Jerit seorang yang lain seraya mengangkat tangan. Dewan hingar dengan suara isinya yang bercakap-cakap sesama sendiri. Tidak tahu buah butir pertuturan mereka.
“Ada bangkangan?” Nada Jeneral Murad masih mendatar. Isi dewan senyap semula.
“Saya cadangkan, cadangan ditutup.” Seorang peserta mengangkat tangan dan memberi cadangan.
“Saya sokong!” Jerit seorang peserta lain.
“Saya juga!” jerit pula peserta lain seraya mengangkat tangan sehinggalah seluruh isi dewan mengangkat tangan tanda setuju kecuali seorang peserta yang duduk hampir dengan pintu. Dia tunduk penuh tawaduk. Dialah jurutera kanan yang dimaksudkan, Dr Muhammad bin Murad.
“Kalau tiada sebarang bangkangan, saya isytiharkan, secara rasminya Dr Muhammad dilantik sebagai ketua misi tersebut.” Umum Jeneral Murad dengan suara garaunya, intonasinya masih lagi sama.
Seluruh isi dewan bangun sebagai tanda sokongan dan ucapan tahniah. Dr Muhammad senyum dan membongkokkan sedikit badannya, tanda hormat kepada semua peserta persidangan.
Dr Muhammad seorang jurutera yang berbakat. Dikenali ramai dengan gelaran muhandis Muhammad. Dia adalah anak sulung kepada Jeneral Murad. Dr Muhammad memang terkenal dengan idea-ideanya yang mendahului masa. Lebih membuatkan peribadi itu disegani ramai ialah kearifannya dalam bidang agama. Dia disebut-sebut sebagai Muhammad Al-Fateh kurun ke 21. Tugas berat bakal menantinya di marikh. Cabaran utama adalah untuk mewujudkan lingkaran beroksigen, bergraviti malar serta sesuai untuk manusia dan bebas daripada radiasi bahaya.

***

Pusat angkasa yang tersergam di hadapan sungai Furat itu gegak gempita dengan takbir dan sorakan. Ada di antara pegawainya yang sujud syukur menerima berita dari marikh sore itu. Senyuman dan ucapan syukur memaknakan kegembiraan dan kepuasan seluruh warga kerja di situ. Kejayaan yang saban hari dinantikan. Kejayaan yang memungkinkan manusia mendarat dan berkoloni di Marikh. Beranak-pinak di sana.
“Kerja terakhir sudah dilaksanakan dengan jaya. Saya dan warga koloni sudah tidak perlu bergantung kepada alat pembekal oksigen dan peneutral tekanan.” Suara Dr. Muhammad bersipongang dalam bilik pemantauan itu.
“Pecutan graviti telah dinaikkan dan dimalarkan daripada 0.38 meter per saat kuasa dua kepada 9.78 meter per saat kuasa dua, sesuai untuk manusia bermandiri.” Suara Dr Muhammad kedengaran lagi.
“Komposisi oksigen berjaya dimalarkan kepada 20 peratus daripada komposisi keseluruhan atmosfera marikh, dan kandungan karbon dioksida berjaya diturunkan daripada 95 peratus kepada 6 peratus kesan daripada manipulasi proses fotosintesis alga.” Lagi laporan daripada Dr Muhammad.
“Tahniah anakku.” Suara Murad II menyusuli laporan Dr Muhammad diikuti dengan takbir warga kerja bilik pemantauan itu. Gembira dan bersyukur.
“Tahniah kepada semua tenaga kerja di sana, kami bangga dengan pencapaian kalian. Kalian punya jasa yang besar buat manusia sejagat.” Kedengaran lagi suara Jeneral Murad II yang berada di bumi. Ada gembira di hujung nada.
Pemilihan Dr. Muhammad dua tahun lalu bagi mengetuai misi membina tapak koloni di marikh adalah suatu keputusan yang tepat. Dalam tempoh dua tahun, marikh sudah bersedia untuk menerima tamu dari bumi, juga menjanjikan kebarangkalian menerima permastautin.

***

“Aku tidak kecut dengan persediaan negaramu!” Jerkah Ferdinand marah. Matanya dibeliakkan. Pipinya bergetar mengempang marah. Kontur dahinya berkerut dengan geram. Kalau boleh, mahu ditelannya utusan Itqan di hadapannya itu. Dia melirik benci kepada utusan yang gumam itu.
“Pergi, khabarkan kepada Muhammad, aku bukan dayus, mudah taat pada titahnya.” Tinggi intonasi suara Ferdinand. Ego dan jahat.
“Pergi!” jerkah Ferdinand. Perlahan-lahan utusan itu mengundur diri dan keluar meninggalkan istana Gharib. Pulang ke perbatasan Itqan dengan khabar perang.
Jeneral Muhammad sedaya mungkin mahu mengelakkan peperangan. Peperangan bererti pertumpahan darah dan kemungkinan besar kehilangan nyawa manusia tidak berdosa. Namun dia tidak punya pilihan. Peperangan perlu bagi mengelakkan kezaliman terus bermaharajalela di planet merah. Dia perlu membebaskan Jericho daripada cengkaman Ferdinand. Penduduk Jericho telah dipaksa membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan Gharib. Kebebasan mereka disekat. Anak-anak muda yang mencecah umur 18 tahun dipaksa bekerja sebagai buruh dalam empayar Gharib. Tidak bergaji, hanya dibekalkan dengan keperluan asas. Sesiapa yang enggan akan dihukum penjara. Menjadi pidana kerana mahu lari daripada penindasan. Mahu tidak mahu mereka terpaksa rela dengan penindasan, bangkang bererti berhadapan dengan tindakan yang lebih jahat dan tidak berperikemanusiaan.
“Wahai sekalian tentera, kita akan berperang dan berkorban demi watan yang kita cintai. Namun, kalian diingatkan, kezaliman tidak akan sirna dengan kezaliman. Dalam kempen peperangan ini, kalian diharamkan daripada mencederakan orang awam dan merosakkan harta awam. Sesiapa yang melanggar titah, dia adalah pengkhianat watan dan kemanusiaan.” Titah Jeneral Muhammad kepada soldadu Itqan melalui corong-corong radio tentera. Terang dan jelas. Tentera Itqan siap siaga.
Sudah masuk hari ketiga. Ternyata, lingkaran pertahanan Gharib bukan calang-calang sistem. Sedikit pun tidak terkesan dengan serangan selepas serangan Itqan. Sistem pertahanan itu agak kebal. Jika terus-terusan menyerang sebegini, lama kelamaan akan menyebabkan bekalan peluru berkurangan. Jika perkara ini berlaku, Itqan mungkin tidak mampu untuk mempertahankan empayarnya jika Gharib membuat keputusan untuk menyerang balas. Usai mengimami solat jemaah bersama tentera loha itu, Jeneral Muhammad berteleku lama di atas tikar sejadah. Jeneral Muhammad mengerutkan kening. Fikir dengan makrifat. Kemudian senyum, barangkali dijengah hikmah. Jeneral Muhammad menggamit wazir yang berdiri beberapa depa daripadanya. Wazir yang melewati usia 50 tahun itu meluru taat. Perbincangan berlaku. Wazir angguk, kemudian senyum.
Sore itu, pemimpin-pemimpin tertinggi tentera dipanggil menghadap Jeneral Muhammad. Tidak berapa lama lagi, taklimat mengenai strategi ketenteraan akan disampaikan. Hakikatnya, moral tentera-tentera Itqan agak terkesan disebabkan siri-siri serangan yang tidak menatijahkan hasil. Penat dan keliru.
“Tuan-tuan, saya ucapkan terima kasih tak terhingga atas kesanggupan tuan-tuan berkorban demi negara. Dalam kecanggihan sains dan teknologi, kadang kala kita lupa, kemenangan bukan terletak atas kekuatan materi semata-mata. Kemenangan adalah gabungan rohani, fizikal dan fikiran. Apa-apa yang telah berlaku dalam sejarah panjang manusia bukanlah untuk diperap dalam buku-buku sejarah.” Jeneral Muhammad membuka bicara.
“Hari-hari yang datang sebenarnya perulangan hari-hari yang pergi. Kita berbicara tentang manusia dan peristiwa. Lirik sama dengan irama berbeza.” Semua angguk. Sunyi bertandang sebelum Jeneral Muhammad meneruskan bicara.
“Malam ini kita akan gunakan taktik silam. Menggali terowong-terowong di bawah permukaan marikh bagi menembusi sistem pertahanan Gharib.” Jeneral Muhammad serius.
Lama dahulu, Muhammad Al-Fateh pernah menggunakan strategi menggali terowong dalam usaha menawan Konstantinopel setelah usaha membedil kubu kota itu gagal. Namun usaha itu tidak seberjaya mana. Setelah pihak Konstantinopel mengetahui rancangan Muhammad Al-Fateh, terowong-terowong itu telah dilimpahkan dengan air dan menggagalkan tentera Al Fateh daripada menembusi kota. Terowong-terowong yang bertentangan juga dibina dengan tujuan menghambat dan membunuh tentera-tentera Al-Fateh. Kegagalan itu telah menyebabkan Al-Fateh menukar strategi baru yang akhirnya menyebabkan Konstantinopel jatuh ke bawah penguasaannya.
Malam datang bersama sunyi dan legam langit. Malam ini unik daripada malam-malam lain. Malam ini bulan mengalami gerhana penuh. Malam yang terang diratai cahaya rembulan tiba-tiba bertukar gelap. Fenomena yang mengambil tempat apabila matahari, bumi dan bulan berada pada satu garis selari. Dalam setahun, sekurang-kurangnya dua kali fenomena sebegini berlaku. Mengkagumkan. Tetapi tidak buat Ferdinand. Dia melontar pandangnya jauh ke arah kerdipan cahaya yang datang dari kem tentera Itqan. Dia masih lagi selamat di kotanya kerana sistem lingkaran pertahanan bio-fizik masih ampuh. Di sepanjang perbatasan, tenteranya siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan. Gerhana membawa petanda sial. Mungkinkah dia akan terpaksa tunduk kepada Itqan? Dia masih berdiri dengan percaya, esok tiba dengan berita kegagalan Itqan menembusi sistem pertahanan empayarnya. Hari baru. Mentari pagi menyapa. Masih dengan fitrahnya, terbit di timur dan sore nanti tenggelam di horizon barat. Namun bagi Ferdinand, seolah-olah mentari tidak begitu hari ini. Seolah-olah, hari ini mentari terbit di barat dan sore nanti tenggelam di horizon timur. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya di luar jendela kaca istananya. Ini tidak mungkin terjadi kecuali dengan ilmu sihir yang maha hebat. Dia melopong tidak percaya.

***

Pagi itu empayar Gharib terjaga dengan kejutan. Ruang udaranya dipenuhi dengan kenderaan terbang TL I Itqan. Tentera-tenteranya melutut dengan dua tangan di belakang kepala. Empayarnya sudah ditawan oleh tentera-tentera Itqan. Sistem pertahanannya masih utuh seperti semalam. Ferdinand tidak percaya. Bagaimana ini berlaku? Ini hanya akan berlaku jika sihir yang maha hebat digunakan.
Tengah malam semalam hingga ke dinihari, 100 000 tentera Itqan bertungkus lumus menggali terowong dengan alatan-alatan ringkas seperti cangkul dan penyodok. Penggunaan alatan ringkas akan membolehkan strategi mereka tidak dikesan oleh pihak musuh. Kerja membina terowong itu menagih jerih. Terowong besar, sehingga kenderaan terbang TL I boleh ditarik menerusi terowong itu. Senyap-senyap menembus ke dalam kota Gharib. Penentangan yang diterima agak minima, hanya beberapa orang tentera sahaja yang sedar ketika para soldadu Itqan menembus masuk. Itu pun tidak sempat mengejutkan semua supaya bertindak, langsung mengangkat tangan apabila digertak oleh tentera Itqan.Yang semua itu, sedar apabila dikejutkan oleh tentera Itqan dengan hujung senjata. Dalam masa dua jam, seluruh tentera Gharib berada dibawah tawanan Itqan. Merayu-rayu supaya tidak diapa-apakan.
Dalam kejutan, Ferdinand dikejutkan lagi dengan ketukan pada pintu kamar tidurnya. Ketakutan berlari menerusi pembuluh-pembuluh darahnya. Dia takut benar ketika itu. Pintu terus diketuk. Enggan dibukanya. Diterjah dari luar, sekonyong-konyong kelibat Jeneral Muhammad dan wazir Itqan sudah berada di hadapannya dengan sepuluh pengawal lengkap bersenjata. Kejutan lagi.
Ferdinand tunduk ketika digari dalam pakaian tidurnya. Merah menguasai seluruh mukanya, malu dan marah. Jeneral Muhammad bertahmid, lirih. Syukur peperangan ini sudah tanpa darah.
“Sejarah untuk dipelajari, dikaji, difahami dan diaplikasi. Sejarah akan berulang kerana kita bercerita tentang manusia dan peristiwa. Dalam mana-mana kurun, sejarah akan berulang dan berulang lagi. Lirik sama dengan irama berbeza. Kemajuan bukan alasan untuk tidak mencontohi sejarah. Manusia yang tidak tahu mengambil tauladan daripada sejarah, akan berulang kali mengulangi kegagalan.” Tutur Jeneral Muhammad perlahan kepada wazir disebelahnya ketika Ferdinand melintasi mereka dengan muka merah dan marah. Tangannya digari ke belakang. Wazir angguk, mengerti. Hari ini bukti kebenaran kata-kata Jeneral Muhammad tadi. Kejayaan yang dicipta setelah mengambil teladan daripada sejarah pembukaan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al Fateh.
“Benar, kita bercerita tentang gengsi Adam yang diciptakan daripada tanih hitam. Manusia dan peristiwa. Lirik sama dengan irama berbeza.” Wazir memandang tepat ke mata Jeneral Muhammad. Senyum.
Keduanya meninggalkan istana Gharib yang kosong tidak berpenghuni dengan rasa syukur atas kemenangan hari ini. Kemenangan yang akan dikecapi oleh sesiapa yang tahu dan mahu belajar daripada sejarah.







Pertandingan Cerpen Remaja DBP

Anak Pungut
Oleh: Mohd Hafez Iftiqar bin Ahmad Termizi
Tempat Kedua Pertandingan Cerpen Remaja DBP
Kategori 11/PC2,16 hingga 20 tahun (CERITA PENDEK)

Budak lelaki yang berpakaian compang-camping itu asyik memunggah tong sampah. Namanya Khairil. Khairil bin Abdullah. Dibinkan Abdullah kerana bapa dan ibu kandungnya tidak dapat dikesan. Dia ditinggalkan di pintu depan surau ketika dia berusia beberapa hari. Khairil itu pun nama yang diberikan oleh orang yang menjumpai dia di pintu pagar surau. Bukan tong sampah besar tepi sekolah itu sahaja yang dipunggahnya, tong sampah tepi dewan besar, tong sampah majlis daerah bawah pokok besar berhampiran masjid, malah pusat pembakaran dan pelupusan sampah tepi bengkel majlis daerah pun diselongkar Khairil. Khairil mencari kalau-kalau ada besi buruk. Boleh juga dijual kepada Ramu keling botol. Satu kilogram lima kupang. Begitulah kerja Khairil, dari pagi sampai petang. Waktu zuhur, Khairil berhenti sekejap, sembahyang empat rakaat, teguk air paip, kemudian sambung semula kerja. Hendak beli makan tengah hari, duit tak cukup. Malam karang, kalau ada rezeki, boleh makan nasi lauk ikan masin atau telur mata kerbau. Kalau tak bernasib baik, nasi dengan kicap manis sahaja, macam malam semalam.
Tapi Khairil kena cepat. Petang nanti, lepas asar, dia hendak meminjam buku Adi. Hendak salin apa yang Adi salin di sekolah kebangsaan pagi tadi. Khairil mahu jadi pandai. Kenal huruf daripada A sampai Z. Tahu membaca dan mengira. Tahu tambah, tolak, darab, bahagi. Dengan Adi sahaja tempat dia belajar. Itu pun mujur, sebab hanya keluarga Adi yang membenarkan anak mereka berkawan dengan Khairil. Tiap-tiap petang lepas asar, itulah kerja Khairil. Ke rumah Adi, belajar apa yang Adi belajar di sekolah kebangsaan. Khairil teringin benar hendak ke sekolah macam budak-budak lain. Khairil mahu jadi doktor bila besar nanti. Mahu tolong orang. Masa umur Khairil 7 tahun, Khairil pergi sendiri ke sekolah kebangsaan, mahu daftar memasuki darjah satu. Budak-budak lain semua ditemani ibu bapa termasuklah Adi. Paling kurang salah seorang, kalau tak ibu, bapa. Baju sekolah dan seluar sekolah dia beli sendiri dengan duit hasil jualan besi buruk. Kasut sekolah disedekah oleh Adi. Itu pun sudah ketat. Sakit kaki Khairil memakai kasut itu. Kata Adi, itu kasut masa dia tadika dahulu. Sudah tidak muat. Beg sekolah? Tiada. Mahal sangat. Khairil tidak cukup duit untuk membeli beg sekolah. Beg plastik lut sinar yang dia sumbat dalam poket seluar itulah beg sekolah Khairil. Asal boleh diisi dengan buku dan alat tulis cukup, buat apa lawa-lawa.
`Assalamualaikum, nama adik siapa? Boleh bagi cikgu surat beranak?’ Tegur cikgu muda yang menjaga kaunter pendaftaran.
`Khairil. Khairil bin Abdullah. Saya tak ada surat beranak’. Khairil senyum.
`Bapa atau mak adik ada datang sekali?’ tanya cikgu muda lagi.
`Saya tak ada mak bapak.’ Balas Khairil tunduk.
`Sekarang siapa jaga adik?’
`Tak ada siapa. Dulu Pak Salim, dia meninggal tahun lepas.’
`Adik ke tepi sekejap ya, bagi peluang dekat mak cik dan pak cik yang beratur panjang dekat belakang tu.’ Pintu cikgu muda.
Khairil akur. Dia ke tepi. Masih tunduk. Khairil berjalan perlahan menuju ke bangsal tempat letak basikal. Dia menangis semahunya. Tak adil! Dia pun berbaris lama menanti giliran untuk mendaftar masuk darjah satu. Sedih dan berputus asa, dia mengambil keputusan untuk tidak bersekolah. Dia tidak tahu untuk mengadu kepada siapa. Dia segan dengan cikgu muda. Apa yang diketahui oleh budak berumur tujuh tahun sepertinya? Menangis dan merajuk.
Penjaga Khairil meninggal semasa umurnya 6 tahun. Pak Salim namanya. Khairil panggil dia ayah. Pak Salim miskin melarat. Rumah tempat Khairil berteduh bersama Pak Salim sudah uzur benar. Datang sahaja hujan, tiris sana sini. Pak Salim yang telah memunggut Khairil dan menjaganya.
Kisah itu kisah hitam. Khairil tidak mahu mengingati kisah itu. Kisah itu mengingatkannya kepada asal dirinya. Mengapa dia dibinkan Abdullah. Mengingatkan dia bahawa dia anak pungut. Anak luar nikah. Anak haram. Dia cukup benci dengan istilah anak haram. Terasa seperti sama dengan babi dan anjing apabila istilah itu digunakan. Bukan dia yang haram. Ibu bapanya yang melakukan hubungan luar nikah. Berzina. Hubungan haram.
Ketika dia masih merah, ibu yang telah bertanggungjawab melahirkannya telah meninggalkan Khairil di hadapan surau di Kampung Pahat. Tergantung dia di pintu pagar surau dalam kain batik yang masih bertompok-tompok dengan darah. Dari malam sampai waktu subuh. Pak Salim yang mengambilnya, membawa pulang ke rumah dan memelihara Khairil sampai umur enam tahun. Kata Pak Salim, masa itu tali pusat Khairil pun masih belum tanggal. Itu pun kira bernasib baik kerana dia tidak menjadi habuan anjing atau kucing lapar. Pak Salim menceritakan kisah itu apabila Khairil bertanya mengapa dia berbinkan Abdullah bukan Salim seperti Adi yang berbinkan Hanifah. Adi bin Hanifah. Hanifah itu bapa kandung Adi. Khairil menuju ke kedai Ramu dengan senyuman yang meleret. Dia menyorong basikal tua yang sudah kemik rim. Basikal itu hampir sama tinggi dengan dia. Seorang perempuan India tersenyum apabila ternampak Khairil menyorong basikal buruk masuk ke kedai. Barang kali isteri Ramu keling botol.
`Mahu timbang? tanya perempuan India.
`Nanti dulu aci. Ada dua buah lagi.” Jawab Khairil tersenyum.
`Banyak murah rezeki ini hari.’
`Alhamdulillah, Tuhan beri banyak ini hari.’
Khairil tersenyum. Semua sekali 30 kg. bermakna RM15. Cukup untuk dia beli telur dan ikan masin untuk santapan seminggu. Baki, masuk tabung untuk dia beli pensel dan buku. Lilin pun masih ada sekotak. Tahan untuk seminggu.
Selepas solat asar, Khairil berlari-lari anak ke rumah Adi. Dia jinjit beg plastik yang mengandungi buku, pensel dan pemadam. Tidak sabar untuk belajar apa yang dipelajari Adi di sekolah kebangsaan. Petang itu, Khairil hadiahkan Adi gula-gula. Dapat gaji banyak katanya kepada Adi. Mungkin sebagai tanda terima kasih atas jasa baik Adi selama ini. Membenarkan dia belajar apa yang dipelajari Adi di sekolah kebangsaan. Mungkin juga sebagai tanda penghargaan kerana Adi sudi berkawan dengannya.
Sebelum senja, Khairil pulang ke rumah sambil cuba mengingati apa yang telah dipelajari daripada Adi sebentar tadi. Sampai di rumah, dia mandi ala kadar, kemudian bersiap-siap untuk ke surau. Rumah usang itu hanya ada bekalan air bersih. Itu pun kadang-kadang kena potong, sebab Khairil tidak cukup duit untuk membayar bil air. Khairil yang membayar bil air di pejabat pos menggunakan wang hasil jualan besi buruk. Terjengket-jengket dia di kaunter bayaran setiap bulan. Selesai solat maghrib berjemaah, Khairil akan duduk membaca Quran. Dia belajar al-Quran daripada Pak Salim semasa Pak Salim hidup dahulu. Sekejap sahaja dia mengenal huruf alif sampai ya. Beberapa bulan selepas kenal huruf, dia sudah boleh membaca Quran dengan agak baik. Cuma hukum tajwid sahaja yang lintang-pukang. Dia cukup suka bulan Ramadan, sebab boleh bertadarus dengan orang dewasa. Boleh belajar ilmu tajwid sikit-sikit. Kalau tidak bertilawah al-Quran, dia akan membaca buku yang disediakan di perpustakaan mini yang terdapat di sudut belakang surau. Kalau ada ceramah agama, dia akan mendengar ceramah dengan khusyuk. Selalunya dia akan berada paling hadapan, hampir dengan tok guru yang berceramah. Habis ceramah dia akan kucup tangan tok guru. Selepas solat Isyak, dia akan pulang ke rumah. Menyalakan lilin. Kemudian baca apa yang disalin daripada Adi petang tadi. Kalau tak pun, Khairil akan membaca helaian akhbar yang dia temui dalam tong sampah siang tadi. Sebelum tidur, dia akan padamkan api lilin. Jimat. Baki lilin yang masih belum terbakar boleh digunakan lagi esok hari.
Kadangkala dia terfikir juga tentang nasibnya yang malang. Tidak dapat ke sekolah seperti budak-budak lain. Hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Khairil merasakan hidupnya lebih malang daripada kucing Parsi hitam milik orang kaya Halim, tauke ladang getah Kampung Pahat. Petang tadi, semasa dia melintas di hadapan rumah banglo orang kaya Halim, Khairil ternampak orang gaji rumah itu memandikan kucing Parsi itu dengan syampu. Khairil, syampu pun dia tidak mampu beli.
Dia terfikir, tidak adakah pemimpin seperti Umar al-Khattab yang menjenguk rakyat di malam hari, mencari kalau-kalau terdapat rakyat yang menderita. Kisah Umar itu dia dengari daripada seorang ustaz yang berceramah di surau. Menurut ustaz itu, suatu malam ketika Umar meronda-ronda, tiba-tiba didengarinya suara kanak-kanak menangis dari sebuah rumah. Dia mengintip ke dalam rumah, ingin tahu sebab kanak-kanak itu menangis. Didapatinya, ibu kanak-kanak tersebut sedang memasak batu hingga mengeluarkan bunyi seolah-olah dia sedang memasak santapan anak kecil itu. Anak kecil itu terlena semula apabila mendengar bunyi batu yang berlaga dengan periuk. Maka mengertilah Umar bahawa keluarga itu sudah kehabisan bekalan makanan. Umar sendiri, sebagai ketua negara telah memikul gandum untuk diberikan kepada ibu tersebut. Ibu itu bersyukur dan berkata tanpa menyedari yang memikul gandum itu adalah Umar, `Alangkah baiknya jika Umar seperti ini.’ Khairil tersenyum ketika teringatkan kisah tersebut.
Sukar mencari pemimpin sedemikian, malah marhaen pun sudah hidup secara individualistik. Sudahnya anak yatim dan miskin seperti Khairil terus merana tanpa pembelaan. Masyarakat baik di kota atau di desa sudah kehilangan nilai-nilai murni. Masing-masing hanya mementingkan periuk nasi sendiri. Terperangkap dalam sangkar materialistik. Hidup nafsi-nafsi. Biar orang lain susah asal aku senang. Tidak lagi dipraktikkan hadis yang menyatakan Muslim itu ibarat satu tubuh, satu anggota sakit seluruhnya terasa. Nafsi-nafsi. Yang kuat ke hadapan, yang lemah tercicir di belakang.
Khiril terlelap. Dia teringin benar untuk ke sekolah. Belajar membaca dan mengira. Dia mahu jadi doktor apabila dewasa. Mahu tolong orang. Tapi, dia tiada bapa. Tiada ibu. Tiada wang. Orang kampung pula pandang serong terhadap dia. Orang kampung tak izinkan anak-anak mereka berkawan dengan Khairil. Bagi mereka Khairil najis. Khairil berdosa. Khairil hina. Khairil anak pungut. Khairil anak luar nikah. Khairil anak haram.
Yang berdosa sebenarnya ibu bapa Khairil. Mereka yang lakukan hubungan haram. Bukan Khairil. Cuba tanya Khairil. Pada usia dia 9 tahun sekarang, dia pun tahu marah kalau ada budak muda berdua-duaan laki perempuan. Bulan lepas, semasa anak perempuan Pak Mokhtar dan seorang budak pekan kena tangkap khalwat, Khairil pergi melihat pasangan itu lalu meludah ke muka budak pekan itu. Dia meluat dengan orang yang melanggar hukum Allah. Sampai Khairil kena tolak jatuh oleh Pak Mokhtar. Dia benci dengan orang yang berbuat maksiat. Dia sendiri tidak pernah tinggal solat 5 waktu sejak dia berumur tujuh tahun. Dia ingat pesan Pak Salim, solat 5 waktu tiang agama.
Kokok ayam jantan membangunkan Khairil. Dia lipat selimut kemudian tilam bujang lusuh yang dahulunya digunakan Pak Salim. Sudah bertahi lalat tilam itu. Dia meraba-raba dalam kegelapan. Mencari mancis api. Lilin dinyalakan. Beberapa minit lagi beduk akan dipalu menandakan masuknya waktu subuh. Khairil mahu cepat supaya sempat berjemaah subuh di surau yang terletak 300 meter dari rumah.
Terang-terang tanah nanti, dia akan ke tempat-tempat pembuangan sampah semula. Mencari rezeki dari sana. Pendapatannya nanti, akan dia gunakan untuk membeli keperluan rumah, buku dan alat tulis. Pendapatan itu tidak mungkin mampu untuk menanggung belanja persekolahan, walaupun Khairil teringin berbuat begitu.
Khairil anak pungut. Tetapi tidak bererti dia tidak layak menikmati hidup seperti kanak-kanak seusianya. Dia anak luar nikah, ibu bapanya yang berdosa, bukan dia. Mengapa dia disisihkan oleh masyarakat? Dia mahu jadi doktor bila besar nanti. Mahu tolong orang. Tapi bagaimana akan tercapai cita-cita kalau tidak ke sekolah. Hendak jadi doktor perlu sijil SPM, sebelum itu sijil PMR dan UPSR. Khairil tahu, dia tidak mungkin akan menjadi seorang doktor kalau tidak ke sekolah. Cuma dia tidak tahu, kepada siapa harus dia pohon pertolongan supaya dapat dia ke sekolah. Khairil janji, kalau ada orang yang sudi membiayai kos persekolahannya, dia akan memberikan rawatan percuma apabila dia besar nanti.
Khairil melangkah riang ke tong sampah tepi dewan besar dengan harapan rezeki menantinya di sana. Kalau nasib baik, malam karang boleh makan nasi lauk sedap sedikit. Boleh beli seketul ayam masak merah. Sudah 3 bulan dia tidak makan lauk sedap-sedap. Setiap hari hanya ikan masin atau telur mata kerbau. Kalau nasib tak baik, nasi dan kicap manis sahaja. Namun dia tidak pernah memarahi takdir, walaupun dia sebatang kara, walau pun dia anak pungut.