Hafez Iftiqar diwawancara Fahd Razy.
Assalamualaikum
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kerana saudara Hafez sudi diwawancara oleh saya.
Bolehkah ceritakan latar belakang saudara secara ringkas?
Nama sebenar ialah Mohd Hafez Iftiqar Bin Ahmad Termizi. Dilahirkan pada tahun 1984 di Gerik, Perak, juga dibesarkan di tempat yang sama. Sekarang menuntut di Monash University, Australia dalam bidang perubatan.
Bolehkah berkongsi pengalaman menarik Hafez di Australia?
Bolehkah berkongsi pengalaman menarik Hafez di Australia?
Saya telah menulis sedikit pengalaman saya menerusi watak Hisyam dalam cerpen ‘Artikulasi Psikosis’ (Sayembara Cerpen Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni Kementerian Kebudayaan Kesenian- ada dalam weblog esasterawan saya). Di sini, mungkin saya boleh ceritakan kisah yang tiada dalam cerpen itu. Saya banyak belajar perkara baru di Autralia. Antara yang sedang saya belajar ialah ilmu hadith dan tafsir bersama-sama rakan-rakan dari seluruh dunia melalui kelas-kelas anjuran Ahlu Sunnah Wal Jamaah Association of Australia. Ilmu-ilmu ini sangat mengujakan. Pengalaman lain, tutor saya pernah bercerita, beliau pernah didatangi pesakit yang mengaku sebagai Jesus. Di Australia, insiden seperti salah faham dan diskriminasi terhadap Islam memang biasa. Saya pernah diberitahu ada orang Australia yang mengatakan umat Islam ialah ‘moon worshipers’. Barang kali kerana simbol bulan sabit di masjid-masjid. Ada juga yang mengatakan umat Islam sebagai penyembah tanah. Ada pelajar-pelajar perempuan yang telah dibaling dengan telur oleh pemuda-pemuda tempatan. Saya punyai ramai teman-teman seakidah dari pelbagai negara dan suku. Antara yang menarik, kisah teman Brunei berbangsa Cina yang dipaksa murtad oleh keluarga, juga kisah sengsara teman-teman Bosnia di bawah pemerintahan komunis sebelum pencerobohan Serbia, kisah saya berhadapan dengan Syiah (telah saya tulis dalam weblog), pengalaman bekerja sebagai pemetik ceri, pekerja banci serta pencuci kereta dan pelbagai lagi yang insyaAllah akan saya ceritakan jika saya punya kelapangan (di weblog). Itu sahaja catatan-catatan saya yang terabur untuk soalan ini.
Hafez sedang dalam pengajian perubatan dan dalam masa yang sama bergiat aktif dalam penulisan. Bolehkah berkongsi apakah- Yang mendorong Hafez untuk terus menulis?
Hafez sedang dalam pengajian perubatan dan dalam masa yang sama bergiat aktif dalam penulisan. Bolehkah berkongsi apakah- Yang mendorong Hafez untuk terus menulis?
Sebetulnya kebanyakan karya-karya saya membawa prinsip serta mesej yang sama iaitu kritikan sosial. Saya memandang menulis sebagai medium untuk membetulkan kebejatan sosial. Reaksi yang saya terima daripada khalayak pembaca terhadap tulisan-tulisan saya yang menyebabkan saya terus menulis. Apabila karya-karya saya berjaya menyebabkan orang mula berfikir tentang apa yang saya tulis, itu merupakan kejayaan bagi saya. - Pengalaman menarik/manis/sedih/lucu ketika menulis atau menghasilkan karyaIni usah cakap. Sangat banyak. Saya menerima kutukan demi kutukan apabila saya melakukan analisa dan kritik dalam karya saya. Saya sebenarnya tidak kisah mengenai kritikan sebab itu boleh memajukan saya, namun kutukan seperti memberi pelbagai gelaran kepada saya sedikit mengecewakan saya. Pengiktirafan terhadap karya-karya saya merupakan suatu pengalaman manis yang amat saya hargai baik daripada rakan-rakan penulis, sahabat-sahabat, agensi kerajaan atau akhbar.
Bolehkah ceritakan serba sedikit tentang penglibatan Hafez dalam sastera?
Saya kira, saya agak bernasib baik dalam penglibatan secara serius dalam sastera. Hujung tahun 2004, DBP menganjurkan Sayembara Menulis Cerpen Remaja. Antara syarat penyertaan ialah berumur 20 tahun dan ke bawah. Memandangkan saya akan menjangkau 21 pada 2005, di tambah pula dengan masa lapang yang banyak ketika itu, saya ambil keputusan untuk sertai sayembara tersebut. Alhamdulillah, cerpen saya bertajuk Anak Pungut memenangi tempat kedua sayembara tersebut. Di tempat pertama ialah Fahdrazy. Sejak itu saya telah hasilkan beberapa cerpen dan puisi. Yang memenangi sayembara seperti Artikulasi Psikosis (Sayemabara Cerpen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni Kementerian Kebudayaan Kesenian) Gengsi Tanih Hitam dan Antidot Umat Manusia Serigala (Kedua Cereka Sains Karyanet) dab lain-lain serta terlibat dengan beberapa penerbitan. Beberapa puisi tersiar dalam akhbar akhbar arus perdana.
Apa pandangan Hafez tentang dunia umat Islam hari ini?
Apa pandangan Hafez tentang dunia umat Islam hari ini?
Teruk. Ada yang bukan dari agama diambil sebagai agama dan sebaliknya. Ini menyebabkan umat Islam jadi teruk sebab tak tahu nak beza mana yang hak dan mana yang batil. Di semua negara Islam, benda yang sama berlaku, yang sunnah dikatakan bukan sunnah dan sebaliknya. Taklid secara membuta tuli jadi perkara utama dalam dunia Islam, ini menyebabkan perpecahan yang sangat dahsyat dalam ummah. Malah usaha-usaha untuk menyatukan umat Islam jadi sangat sukar sebab kecenderungan umat Islam hanya ikut-ikut sahaja dalam agama. Dicampur dengan pelbagai hal yang memesongkan tumpuan umat Islam terhadap usaha mencapai kecemerlangan dunia akhirat, masalah semakin berat.
Apa pandangan Hafez tentang sikap orang Melayu dan Malaysia hari ini?
Orang Melayu golongan yang suka mengikut baik dalam urusan dunia atau akhirat. Sama dengan situasi kebanyakan negara Islam yang lain. Natijah suka taklid sahaja tanpa asas ilmu menyebabkan mereka gagal menilai sesuatu perkara dengan bijak sebaliknya bertindak berasaskan sentimen semata-mata. Ini menyebabkan masalah dari segi politik, agama, sosial dan lain-lain. Budaya ilmu perlu disuburkan semula dalam masyarakat Melayu.
Pada pandangan Hafez, apakah sikap dan peranan yang harus ada pada penulis?
Penulis sepatutnya berperanan sebagai agen untuk mengubah masyarakat, tidak hanya menulis karya-karya kosong yang hanya bertujuan untuk menghiburkan. Untuk melakukan sedemikian, penulis itu sendiri perlu mempunyai ilmu, prinsip dan pendirian dalam banyak isu semasa dan isu-isu yang berkaitan dengan apa yang ingin ditulisnya.
*nota: dengan sedikit ubah suai.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home